Rabu, November 03, 2010

Utusan Malaysia petik blog Galas untuk BN


Adakah Pas mahu memperdaya Orang Asli?

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
utusankelantan@utusan.com.my

GUA MUSANG 2 Nov. - Tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan sijil pengiktirafan tanah kepada penduduk Orang Asli di Pos Sendrod, Lojing, semalam menimbulkan tanda tanya sama ada ia bertujuan memperdayakan mereka atau sebaliknya.

Persoalan itu timbul selepas sijil tersebut didapati hampir sama dengan sijil dikeluarkan kerajaan Pas Kelantan kepada Peserta Berpenempatan Dalam Ladang Rakyat Limau Kasturi, tiga tahun lalu.


Malah setelah dibandingkan kedua-dua sijil berkenaan tidak banyak perbezaan, cuma pada sijil yang diserahkan kepada Orang Asli itu diletakkan perkataan pengiktirafan.

Kedua-dua sijil itu juga ditandatangani oleh individu yang sama iaitu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Justeru, tidak hairan langkah terbaru Pas itu menimbulkan persoalan kerana kedua-dua projek itu dilihat mempunyai persamaan terutama dari segi pengeluaran sijil.

Dalam isu Ladang Rakyat Limau Kasturi, kerajaan Pas Kelantan telah didakwa melakukan penipuan apabila mereka gagal menempatkan peserta yang terpilih walaupun projek itu telah dilancarkan tiga tahun lalu.

Ia projek kerajaan Pas Kelantan bagi menempatkan semula penduduk miskin dalam satu kawasan baru dan mereka yang terpilih diberikan sebidang tanah ladang beserta tapak rumah.

Perkara itu didedahkan oleh salah seorang peserta terpilih Rozali Rodin, 37, yang kini tinggal di Kampung Lepan Jaya di sini.

Dalam pertemuan bersama Utusan Malaysia dan Pergerakan Wanita UMNO di kediamannya kelmarin, Rozali memberitahu, dia dan 300 yang lain menerima sijil tersebut dalam satu majlis pada 2007.

Majlis penyerahan itu, kata Rozali, disempurnakan sendiri oleh Nik Abdul Aziz yang juga merupakan Mursyidul Am Pas.

"Sebagai orang miskin seperti saya, sudah tentu saya gembira diberikan tanah ladang dan tapak rumah. Namun segala-galanya tipu belaka apabila sehingga sekarang saya masih belum menerima arahan untuk tinggal di kawasan itu.

"Saya hanya dapat sijil yang tidak laku ini sahaja," ujarnya sambil menunjukkan sijil tersebut.

Justeru, seperti mana kata blog bngalas, apa yang dialami Rozali dalam isu Ladang Rakyat Limau Manis serupa dengan tawaran tanah kepada penduduk Orang Asli di Pos Sendrod.

"Adakah ini tipu helah yang sama dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap penduduk Kampung Lepan Jaya kepada penduduk Orang Asli Pos Sendrod?" kata penulis blog itu lagi.

Mengikut blog berkenaan, Pas berjanji menyediakan tanah seluas 40 hektar sebagai penempatan berkelompok tanah Pos Sendrod.

Tanah itu dikatakan akan dirizab dan digazetkan sebagai tanah untuk Orang Asli mengikut Undang-Undang Tanah Negeri dan Kanun Tanah Negara.

Di bawah fasa pertama, projek itu melibatkan penempatan seramai 61 keluarga Orang Asli yang akan ditempatkan ke Petak A dan 13 keluarga ke Petak B.

Tiada ulasan: