Rabu, November 10, 2010

Isu tanah punca orang Asli tolak Pas

GUA MUSANG 7 Nov. - Masyarakat Orang Asli dalam kawasan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis lepas telah memberi isyarat jelas dengan menolak Pas kerana isu pengambilan tanah mereka belum ada kesudahannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Pos Hendrop, Kamal Romli berkata, penduduk Orang Asli sejak dahulu lagi berdepan dengan pelbagai masalah akibat daripada tindakan rakus syarikat luar Kelantan merosakkan tanaman mereka.

"Ini apabila tindakan kerajaan negeri pimpinan Pas merampas tanah yang sekian lama dibangunkan dengan pelbagai tanaman walaupun belum mempunyai hak milik," katanya semasa ditemui di Pos Hendrop hari ini.


Kamal berkata, Orang Asli kini semakin bijak membuat keputusan kerana setiap pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum memilih wakil rakyat yang menjamin masa depan.

Katanya, masyarakat itu tidak sanggup lagi berada di bawah wakil rakyat pembangkang kerana semakin banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Ketua Cawangan UMNO Pos Brooke, Rashid Akoh berkata, pemimpin Pas patut mengambil iktibar daripada kekalahan teruk enam peti undi di kawasan penempatan Orang Asli dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya, keadaan luar biasa itu membuktikan bahawa masyarakat Orang Asli kecewa dengan sikap pemimpin PAS yang tidak memberi sebarang pembelaan terhadap mereka selama ini.

"Apa yang kita bangkitkan mengenai tanah, pemimpin PAS berdolak dalih dan lebih pentingkan syarikat luar membangunkan tanah pertanian di kawasan berhampiran Orang Asli," katanya.

Dalam pilihan raya kecil DUN Galas itu, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi selepas menewaskan calon Pas, Dr. Zukkefli Mohamad. - BERNAMA

Tiada ulasan: