Khamis, Oktober 28, 2010

Usah layan, Ku Li nafi dakwaan boikot calon BN

Pengarah jentera pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata tiada gunanya mendengar dan melayan pelbagai dakwaan Pas yang hanya bertujuan memburukkan Barisan Nasional (BN).

Sambil menafikan dakwaan kononnya tidak senang dengan calon BN, beliau menjelaskan ketidakhadirannya untuk bersama calon ke tempat penamaan calon kerana mahu bersama penyokong BN yang mengiringi calon BN.

“Kenapa kita nak dengar sangat kritikan Pas. Lagi pun saya bukanlah budak kecil yang masih mentah…kalau nak saya merajuk kerana perkara seumpama ini.

“Saya tak pergi ke dewan kerana yang pertamanya kita semua tak berhak bersama calon, hanya pencadang dan penyokong dibenar mengiringi calon ke tempat penamaan calon tapi orang lain, orang kenamaan diizinkan untuk berada di situ.


“Saya dulu pun masa jadi calon saya tak masuk dewan saya suruh pencadang dan penyokong saya bawa borang pencalonan. Saya sengaja untuk bersama pekerja kita, penyokong kita yang ramai datang..jadi kalau kita tinggal mereka tak elok juga…jadi saya rasa bila dah ramai dah ikut calon kita jadi lebih baik saya bersama penyokong-penyokong kita…itu saja.. tiada perkara yang luar biasa”, katanya.

Jelas beliau lagi pemilihan calon BN iaitu Abdul Aziz Yusof dibuat secara pilihan ramai oleh jawatankuasa bahagian dalam satu mesyuarat.

“Calon kita sebenarnya dipilih oleh jawatankuasa UMNO bahagian. Abdul Aziz selain menjadi ahli jawatankuasa bahagian juga setiausaha bahagian yang bekerja dengan penuh dedikasi dan dalam pengundian untuk melihat siapa yang disokong untu menjadi calon BN, dia mendapat suara yang terbanyak.

“….dan itulah yang dikemukakan kepada Datuk Seri Najib untuk buat pemilihan…saya yang telah kemukakan walaupun Najib kata saya yang tentukan tapi saya ikut perlembagaan UMNO. Selepas kita buat mesyuarat dengan bahagian saya bawa perkara ini kepada presiden dan timbalan presiden parti…apa pula saya merajuk”, ujarnya.

Mengenai tindakan Pas memperlekehkan latar belakang pendidikan calon BN pula, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi bahan cemuhan.

“Siapa yang ada pendidikan tinggi … ramai juga di kalangan kita yang berkhidmat sekarang sama di belah Pas mahu pun UMNO ataupun parti-parti lain tak mempunyai kelulusan tinggi dalam pendidikan.

“Saya pun tak berkelulusan tinggi tapi ia bersandar kepada keikhlasan seseorang itu , intergriti seseorang yang nak jadi pemimpin dan saya nampak calon BN seseorang yang mempunyai perwatakan yang baik, ianya orang yang bersih dan seorang yang telah pun diuji sebelum menjadi pemimpin dan sememangnya prihatin terhadap masalah rakyat setempat. Saya percaya dia boleh menunaikan tanggungjawabnya dengan baik dan berkesan untuk rakyat dan untuk parti”, ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut percaya BN mempunyai peluang yang cukup cerah untuk merampas kembali kerusi DUN Galas dari tangan Pas.

“Peluang BN baik sebab itu tidak ada krisis di antara jentera atau pemimpin di peringkat bahagian walaupun ada macam-macam cerita tapi segalanya berjalan dengan baik…jentera di peti undi nampaknya senamangatnya tinggi dan bersepadu”, katanya. - MediaUMNO

Tiada ulasan: