Selasa, Oktober 05, 2010

UMNO tidak pernah pinggirkan Ku Li

ALOR SETAR 5 Okt. - Pemilihan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas membuktikan UMNO tidak pernah meminggirkan Ahli Parlimen Gua Musang itu walaupun beliau seringkali mempunyai pendirian yang berbeza dengan parti.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, UMNO tetap menghormati Tengku Razaleigh sebagai seorang pejuang UMNO yang amat berpengaruh dan telah menyumbang banyak jasa kepada rakyat khususnya di Kelantan.


"Walaupun ada kalanya mempunyai pandangan berbeza antara UMNO dan Ku Li namun ia tidak menjadi punca kepada berlaku permusuhan sehingga boleh merosakkan hubungan antara Ku Li dengan UMNO.

"Kadang-kandang percanggahan pendapat berlaku dalam satu-satu isu yang membabitkan rakyat, seperti isu royalti minyak dahulu adalah perkara biasa namun UMNO tidak bertikam lidah dengan beliau malah mengambil pandangan Ku Li sebagai satu cadangan bagi menyelesaikan sesuatu masalah," katanya di sini hari ini.

Mengenai calon BN bagi pilihan raya kecil itu, Ahmad berkata, pemilihan akan dilakukan pada mesyuarat peringkat pucuk pimpinan UMNO Sabtu ini. - Bernama

Tiada ulasan: