Selasa, Oktober 05, 2010

Calonkan Ku Li bukan rendahkan martabatnya

PETALING JAYA 5 Okt. - Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan agar Tengku Razaleigh Hamzah menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tidak akan merendahkan martabat ahli veteran UMNO itu.

"Tak timbul soal rendah martabat atau apa saja tetapi yang pentingnya (ialah) siapa yang bertanding akan diamanahkan untuk membawa suara rakyat dari kawasan yang ditandingi.

"Jadi, kalau Tengku Razaleigh bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau akan berkhidmat untuk kawasan yang diwakilinya nanti dan ia merupakan satu penghormatan kepada sesiapa sahaja," katanya.


Sabtu lepas, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, cadangan untuk menamakan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai calon BN di Galas sebagai tidak wajar dan menyifatkannya sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh kerana bertanding di peringkat DUN.

Ismail Sabri berkata, kebimbangan Pas mengenai ketokohan Tengku Razaleigh menyebabkan pemimpin mereka mula membuat pelbagai andaian tidak munasabah bertujuan menghalang UMNO daripada meletakkan Tengku Razaleigh sebagai calon BN. - Bernama

Tiada ulasan: