Isnin, Oktober 11, 2010

‘Tengku Gua Musang’ akui punyai sentimen kuat pada Galas


Oleh: LUKMAN ABDULLAH

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa rata-rata masyarakat Orang Asli sekitar Gua Musang merupakan penyokong setia Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ahli Parlimen.

Namun senario politik pilihan raya umum ke-12 terbukti memperlihatkan sebilangan masyarakat Orang Asli telah beralih arah sokongan kepada parti pembangkang sehingga menyebabkan calon Barisan Nasional (BN) DUN Galas Saufi Deraman menerima kekalahan dengan majoriti kecil.

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) N45 DUN Galas Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan masyarakat Orang Asli pun mempunyai hak dan bebas membuat pilihan.


“Tiada paksaan, anak kita pun kadangkala tidak dengar cakap…itu hak mereka tapi saya akan temui mereka sendiri, tak ramai, hanya sekitar 1,800 orang lebih,”katanya ketika ditemui wartawan selepas menghadiri rumah terbuka Kelab Anak-Anak Gua Musang (KAGUM) di rumah Presiden Penajanya Datuk Mohd Lukhman Ghani dekat Bukit Jalil petang Ahad.

Mengulas tafsiran pelbagai pihak terhadap beliau beri sokongan pada kerajaan Kelantan atau PAS dalam isu royalti minyak, Tengku Razaleigh menegaskan ia merupakan salah tanggap semata-mata kerana beliau tidak berjuang untuk mana-mana pihak kecuali untuk rakyat.

“Saya beri sokongan pada rakyat, saya nak minyak dinikmati oleh rakyat samada negeri itu ada minyak atau tiada minyak kerana minyak ini adalah satu penemuan anugerah Allah pada kita yang mesti dinikmati oleh seluruh rakyat. Cuma barangkali negeri yang ada minyak dapat lebih sikit daripada negeri yang tiada minyak tapi jangan dibazir-bazirkan duitnya.”

Menurut Tengku Razaleigh, beliau tidak berjuang untuk PAS tetapi cuba memperbetulkan salah tafsiran terhadap undang-undang yang dibuatnya berdasarkan kehendak Tun Abdul Razak (Perdana Menteri ke 2) agar faedah (dari minyak) dapat dinikmati oleh rakyat di pantai timur yang mundur.

“Apa yang saya dapat ketika itu, sekiranya tiada perjanjian dengan negeri-negeri di bawah undang-undang yang hendak digubal maka Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor tidak akan menikmati hasil minyak.”


Oleh itu, tambah beliau, “undang-undang itu digubal sedemikian rupa supaya kalau minyak ditemui dekat dengan negeri-negeri berkenaan maka negeri itu akan dapat bayaran daripada Petronas sebanyak lima peratus (5%) sebagai syarikat yang diberi hak milik ke atas minyak…saya tak berhutang pada PAS…”

Menjawab soalan wartawan tentang kriteria calon DUN Galas, Tengku Razaleigh memberitahu terdapat banyak krateria tetapi yang penting seseorang yang mudah ditemui, disenangi rakyat, boleh terus sepanjang masa beri khidmat pada rakyat.

“Paling penting seorang yang amanah bukan saja dari segi wang ringgit tetapi dari segi janji, kesetiaan pada rakan-rakan dan rakyat,”katanya.

Ditanya samada barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang akan diberi keutamaan sebagai calon, beliau berkata, “ini terpulang pada parti, saya akan bercakap dengan Presiden parti, saya akan tanya siapa yang beliau hendak dan siapa saja yang difikir layak, saya akan kemukakan, saya akan bertanya juga pada Bahagian UMNO Gua Musang siapa yang difikirkan layak diketengahkan”.

Tengku Razaleigh menjelaskan bahawa beliau memerlukan ‘full back up’ kerana beliau bukan tokoh dalam UMNO atau pemimpin berjawatan untuk menggerakkan jentera parti.

Katanya, “untuk gerak jentera parti mestilah ada ‘backing’ penuh dari ibupejabat dan pimpinan parti kalau tidak mustahil dapat saya arah mana-mana pihak dalam UMNO untuk gerak jentera ini, kita hadapi pilihan raya dan kita hendak rampas kembali kawasan yang kita kalah pada 2008.”

Mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib yang dijadual pada pagi Isnin di Parlimen, Tengku Razaleigh berharap dapat bertemu (PM) secepat mungkin sebelum pulang ke kawasan.

“Saya nak jumpa PM dulu dan dapatkan apa yang diharapkan saya lakukan di Galas,” tambahnya.

Kata Tengku Razaleigh, “saya harap kita dapat tingkatkan pengaruh dan sokongan rakyat terhadap kita supaya dapat kita menang kembali kawasan itu. Kita akan masuk dengan semangat yang tinggi, kita harap kita boleh dapat sokongan besar.”

Diminta mengulas tindakan kerajaan Kelantan yang mengumumkan kelulusan hak milik tanah kepada 2000 orang di kawasan Ciku, Tengku Razaleigh berkata,”kenapa sekarang, kenapa tak bagi dulu lagi…

“Patut bagilah kepada yang berhak tak perlu tunggu pilihan raya kerana mandat sudah diberi pada 2008 dalam pilihan raya umum maka laksanakanlah apa tanggungjawab pada rakyat yang tak bertanah beri tanah kalau mereka berhak.”

Sementara itu ketika berucap kepada lebih 700 orang tetamu yang terdiri daripada anak-anak Gua Musang di perantauan, Tengku Razaleigh mengajak rakyat Gua Musang pulang membantu bagi menyokong parti dan memenangkan calon BN dalam PRK Galas.

Beliau menjelaskan kesanggupan menerima jawatan Pengarah PRK DUN Galas kerana beliau adalah ahli UMNO yang menerajui UMNO Bahagian Gua Musang lebih 50 tahun dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang (dulu Hulu Kelantan) lebih 30 tahun.

“Bagaimana saya hendak menolak tawaran seumpama itu, apatah lagi Galas merupakan bekas kawasan Dewan Undangan Negeri yang pernah saya wakili, saya mempunyai sentimen yang kuat.”

Oleh kerana terlalu lama di Gua Musang, kata Tengku Razaleigh, “ada sesetengah orang panggil saya 'Tengku Gua Musang'...mereka tersasul panggil saya 'Tengku Gua Gusang'. Saya mempunyai minat membantu apa juga usaha yang boleh dilakukan untuk majukan kawasan pendalaman terutama sekali Galas, Gua Musang dan sebagainya.”

Mengulas lagi tanggapan macam-macam terhadap dirinya yang menerima perlantikan Pengarah PRK DUN Galas terutama soal prinsip, beliau berkata, “saya sendiri memutuskan kerana saya fikir patut berkhidmat kepada Gua Musang dan Galas yang merupakan sebahagian kawasan parlimen saya dan lebih baik kalau Galas balik kepangkuan UMNO, ia senang untuk kita satukan dan diusahakan bagi memajukan rakyat dalam kawasan saya sendiri.”

“Sememangnya kawasan Galas telah maju tetapi sekarang ini sepatutnya meningkatlah kerana kita berharap dapat kita tingkatkan perubahan dalam struktur pembangunan itu dan taraf hidup rakyat juga dapat kita tingkatkan supaya memudahkan kehidupan mereka di masa akan datang,” ujarnya.

Agendadaily

Tiada ulasan: