Isnin, Oktober 04, 2010

Pilih Ku Li tepati selera pengundi

BERA 3 Okt. - Pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas wajar dan menepati selera pengundi di kawasan berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilihan Tengku Razaleigh atau Ku Li itu sangat tepat berikutan rekod beliau dalam bidang politik selain diterima pengundi di kawasan itu.

Menurut beliau, kedudukan DUN Galas di bawah Parlimen Gua Musang merupakan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kawasan itu daripada Pas.


Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan Ku Li tidak sesuai dipilih sebagai calon bertanding bagi DUN Galas, tidak berasas sama sekali.

"Pas sepatutnya berpandukan kepada sejarah yang mana ramai di kalangan pakatan pembangkang seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin yang bertanding dan menjadi ADUN serta Ahli Parlimen sekali gus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama UMNO Bahagian Bera dan Koperasi Wawasan Malaysia Berhad di Dataran Laman Kerayong di sini, hari ini.

"Pas sebenarnya sudah ada tanda-tanda takut dengan BN dan UMNO apabila Ku Li dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Galas oleh Majlis Tertinggi UMNO malah disebut-sebut sebagai calon.

"Saya percaya Pas sangat bimbang dengan kehadiran Ku Li yang mempunyai aura tersendiri dan mampu mempengaruhi momentum pengundi untuk menyokong calon BN apa lagi pelbagai rekod buruk pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang di Kelantan," katanya.

Ismail Sabri menegaskan, Pas dan pakatan pembangkang perlu melihat diri sendiri terlebih dahulu sebelum menegur kepemimpinan UMNO dan BN kerana dalam banyak isu pembangkang lebih banyak retorik semata-mata.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: