Isnin, Oktober 04, 2010

Pertikai Ku Li jadi calon, Pas takut berdepan UMNO

KOTA BHARU 3 Okt. - Tindakan Pas mempertikaikan cadangan supaya Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di Galas menunjukkan parti itu takut berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, BN berhak memilih calon tanpa perlu mendapat pandangan atau kritikan pihak lain lebih-lebih lagi daripada pembangkang.

"Apa rasionalnya Pas mempertikaikan cadangan itu (Tengku Razaleigh jadi calon)? Saya tidak nampak motif sebenar Pas di sebalik reaksi itu melainkan bayangan resah, takut dan bimbang atas kredibiliti Ku Li," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan cadangan menamakan Tengku Razaleigh sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai tidak wajar kerana ia merendahkan darjat pemimpin berkenaan.

Cadangan tersebut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, BN bersedia mencalonkan Ahli Parlimen Gua Musang itu kerana beliau paling sesuai dan tepat berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Mengulas lanjut, Noor Zahidi berkata, Tengku Razaleigh diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen dan DUN sekiranya dipilih bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Maka, tiada alasan bagi Pas hendak mengeksploitasikan apa- apa idea mengenai cadangan itu," katanya.

Sehubungan itu, Noor Zahidi berharap Tengku Razaleigh yang telah dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN tersebut, memikirkan semasak-masaknya cadangan supaya beliau bertanding di Galas.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: