Selasa, Oktober 05, 2010

Nik Aziz perlu betulkan akhlak pemimpin Pas

SHAH ALAM 4 Okt. - UMNO Selangor mencabar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membawa kembali ahli dan pemimpin parti itu kepada ajaran Islam sebenar daripada memberi tumpuan kepada soal memilih calon tidak merokok untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, pemilihan calon bukan perokok bukanlah satu perkara yang perlu diutamakan oleh Menteri Besar Kelantan itu.

Sebaliknya, kata beliau, Nik Abdul Aziz perlu melihat semula akhlak sebilangan besar pemimpin dan ahlinya yang sering melakukan fitnah dan memaki hamun pihak yang tidak selari dengan agenda politik Pas.

Katanya, tingkah laku sedemikian dilihat banyak kali berlaku di dalam ceramah politik yang dianjurkan oleh parti itu termasuk di negeri ini.


''Saya bukan menyokong amalan merokok tetapi untuk meningkatkan imej Islam, saya rasa ada perkara yang lebih penting iaitu menghentikan budaya fitnah dan memaki hamun yang dilakukan pemimpin Pas.

''Apakah Nik Aziz tidak melihat atau buat-buat tak nampak akhlak sebilangan pemimpin mereka ketika berceramah. Adakah amalan fitnah, maki, menuduh pihak lain tanpa usul periksa ini dapat meningkatkan imej Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz Sabtu lalu yang menegaskan tidak akan mencalonkan perokok untuk mewakili parti itu pada pilihan raya kecil DUN Galas.

Menurut Nik Abdul Aziz, calon perokok tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil berkenaan kerana menurutnya, amalan merokok boleh merosakkan segala-galanya sama ada dari segi kesihatan mahupun imej Islam parti itu.

Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, sekiranya Nik Abdul Aziz menyifatkan perokok boleh menjatuhkan imej Islam, beliau seharusnya mengharamkan terus ahli serta pemimpinnya daripada merokok.

Malah, katanya, kenyataan Nik Abdul Aziz berhubung soal calon tidak merokok mungkin berpunca daripada ketidakyakinan Pas untuk mempertahankan DUN Galas lebih-lebih lagi UMNO sedia mempertimbangkan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon.

''Mungkin Pas kurang yakin akan kemampuan mereka dalam pilihan raya kecil ini. Sebab itu timbulnya kriteria calon seumpama itu (bukan perokok) dengan memainkan sentimen dan imej agama bagi menarik sokongan pengundi.

''Malah, Nik Abdul Aziz sendiri dilihat seolah-olah tertekan apabila menyifatkan cadangan menamakan Tengku Razaleigh sebagai calon Barisan Nasional (BN) di DUN Galas kononnya tidak wajar kerana ia merendahkan darjat pemimpin itu," ujarnya.

Utusan Malayisa

Tiada ulasan: