Rabu, Oktober 06, 2010

Galas: Nik Aziz jangan campuriurusan BN

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kepimpinan tertinggi parti itu dinasihat supaya tidak mencampuri urusan persiapan Barisan Nasional (BN) dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini kerana Pas tidak berhak untuk menentukan siapa calon yang akan mengetuai jentera pilihan raya BN atau pemimpin yang akan menjadi calon BN di sana nanti.


Justeru katanya, tindakan Pas yang mempersoalkan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN serta ura-ura meletakkan beliau sebagai calon bertanding di sana nanti memperlihatkan parti pembangkang itu kini tertekan.

"Pas ini dalam keadaan tidak menentu kerana persoalan darjat atau kedudukan ini bukan masalah, kenapa (Pas) nak tentukan siapa calon kita, siapa layak, siapa tidak. Tunggulah pilihan raya, kita lawan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Mohd. Shafie menyelar tindakan beberapa pemimpin Pas yang sebelum ini mempersoalkan pelantikan Tengku Razaleigh kononnya ia bertujuan merendahkan kedudukan beliau selaku bekas menteri Kabinet dan Ahli Parlimen veteran dalam negara.

Beliau berkata, Tengku Razaleigh merupakan individu yang dirasakan layak serta boleh membawa kemenangan kepada BN dan UMNO jika bertanding di kerusi berkenaan kerana mempunyai pengalaman luas dalam arena politik serta ekonomi tempatan dan luar negara.

"Tengku Razaleigh adalah ahli UMNO dan dia juga berjuang demi kepentingan parti.

"Terpulanglah kepada beliau untuk membuat keputusan, janganlah pula Nik Aziz nak buat keputusan untuk dia," katanya.

Tiada ulasan: