Dengar cerita nak masuk hutan jumpa Orang Asli, naik 4WD, lalu jalan balak, yang berselut tanah merah, melalui anak-anak sungai memang mengujakan terutamanya pada yang suka cabaran. Ala Camel Throphy you…siapa yang tak syok.
Tapi selepas 12 jam, ‘menari dalam kereta’, turun naik bukit, kena tolak kenderaan yang tersangkut dalam selut, dalam hutan tebal, kemalangan kecil, dan perut yang lapar sebab tak ada makanan.. timbul rasa menyesal ikut dan ‘taubat’ dah nak masuk hutan lagi, sekurang-kurangnya untuk pilihanraya kecil ini.
Itulah hakikat yang dilalui kami para wartawan yang ikut konvoi Tengku Razaliegh Hamzah redah hutan belantara untuk bertemu pengundi Orang Asli di Pos Balar dan Pos Hau Khamis.
Semuanya bermula pukul 7.30 pagi apabila wartawan dari berbagaibagai agensi berkumpul depan rumah Ahli Parlimen Gua Musang itu di Bukit Cekati,Gua Musang.
Jadi pagi itu, semua bersiap sedia dengan kenderaan 4WD, yang tak ada kenderaan tumpang mana yang kosong. Set walkie-talkie diberikan pada setiap kenderaan.
Itulah caranya berhubung nanti, sebab memang handphone tak ada liputan dalam hutan rimba itu.
Pukul 8.30 pagi, kami mula keluar dari rumah Ku Li menghala ke Kuala Betis, selepas 10 minit, kami mula melalui jalan masuk ke Pos Balar, 90 kilometer dari Gua Musang.
Jalan tanah merah yang sinonim dengan aktiviti penggambilan balak dalam hutan sekitar Gua Musang itu.
Destinasi pertama kami adalah melawat Orang Asli di Pos Balar, yang ada lapan kampung Orang Asli, dengan lebih kurang 600 penduduk, dan 235 pengundi.
LADANG DALAM HUTAN
Anak-anak sawit baru tumbuh sebesar kaki, ada penempatan tetapi bukan Orang Asli sebaliknya pekerja asing yang rata-ratanya orang Indonesia.
“Orang Asli marah, sumber pendapatan hasil hutan mereka terjejas dengan pembukaan ladang besar-besaran oleh kerajaan negeri, mereka pula tidak dapat kerja,
“Ada kes, pekerja ladang orang asing ini, dah ‘rembat’ bini Orang Asli, itu yang mereka ‘berbulu’ sungguh tu,” kata salah seorang ahli rombongan kami ketika melewati ladang luas saujana mata memandang dalam hutan itu.
Perjalanan kami diteruskan lagi, melalui jalan yang kecil dan sempit, sesekali bertembung dengan lori balak yang mengangkut kayu bernilai tinggi itu.
Baru dua jam kami redah hutan, perut masing-masing dah mula berbunyi, mana tidaknya, masih belum sarapan pagi.
Sesekali dengar walkie-talkie dari kenderaan depan memaklumkan keadaan jalan dan minta yang belakang berhati-hati.

Masuk tiga jam perjalanan, kami perlu melalui sebatang sungai, sebuah kenderaan Pajero yang mulanya ikut, dah tak boleh tahan, dia nak patah balik. Tak kuat semangat.

MAKAN SELUT TANAH MERAH

Yang lain teruskan perjalanan tanpa henti, ada waktu terpaksa melalui sebelah gaung yang dalam, menurun bukit pula, sayup mata melihat ke bawah, gerun pun ada.
Kenderaan yang kami naiki tersangkut kali pertama ketika mendaki bukit dalam selut tanah merah.
Puncanya, Hilux yang kami bawa bukan jenis redah hutan, Hilux bandar, orang kata, tayarnya bunga kecil, sedangkan Hilux yang bawa Ku Li, tayar jenis off road . Bunga besar dan mencengkam.
Kami terpaksa turun tolak, henyut, tolak henyut beramai-ramai, ada yang tolak dari belakang, ada yang dok atas Hilux henjut, sambil driver tekan minyak, bahaya gila, kalau mengundur mahu kemalangan jiwa tu.
Tiba-tiba, dalam dok henjut itu, Lukman Abdullah, wartawan foto AgendaDaily dan Anuar jurkamera TV3 tersungkur di belakang Hilux.
Lukman bercalar tangan, menyembab, pakaian memang dah tukar warna merah. Anuar alhamdulilah , tak cedera tapi merasalah ‘makan percikan selut tanah merah’. Selepas 20 minit susah payah, kenderaan kami dapat juga mendaki bukit itu.
Dalam ucapannya, Ku Li melahirkan rasa kesalnya, dengan kerajaan Pas Kelantan yang tidak mempedulikan Orang Asli.
Menurut beliau, kerajaan Pas Kelantan yang kononnya hendak menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli tetapi dalam masa yang sama sanggup menggadai tanah yang diduduki mereka kepada pihak lain bagi tujuan pembalakan dan Ladang Rakyat.
"Ladang rakyat yang kononnya dilaksanakan untuk kebaikan Orang Asli hanya karut kerana mereka (Orang Asli) mahukan tanah sendiri," katanya.
Sejam di Pos Balar, perjalanan diteruskan, kali ini ke Pos Hau, jam dah pukul 1.00 petang, perut makin berbunyi.
Entah apa silapnya, tak ada jamuan untuk kami di Pos Balar, dalam bebal dan bersungut, kami terpaksa lagi naik turun bukit.
Kali ini empat wartawan Astro Awani tak ikut serta, mereka perlu hantar cerita sebelum malam.
Tinggal TV3, RTM, Bernama dan AgendaDaily. Jalan ke Pos Hau yang mempunyai 257 pengundi, lebih sukar daripada ke Pos Balar.
5 M CARA ‘KEPUNG’ ORANG ASLI
Ini kerana ia bukan jalan lori balak. Jalan hutan yang sempit dan licin. Ada kalanya kereta terpaksa menaiki bukit dengan ‘meniti atas batu’.
Antara kisah yang kami bualkan adalah mengenai cara nak kepung Orang Asli. Kata Lukman Ghani, pegawai Khas Ku Li.
Hendak sokongan Orang Asli mesti ada 5 M. Makan, Minum, Main, Menari dan Menyanyi.
“Makan minum biasa, main maknanya buat pertandingan untuk mereka, Menari maknanya sewang, tarian khas Orang Asli dan menyanyi maknanya karaoke. Orang Asli cukup suka benda itu,’ katanya yang berpengalaman buat kerja ‘kawal’ orang Asli untuk bosnya itu.
Jam 3.30 petang, kenderaan kami tersangkut lagi, kali ini lebih teruk daripada yang pertama tadi, terus tak boleh bergerak. Hilang rasa lapar, sebab dok fikir bagaimana nak lepas sahaja.
Dengan set walkie-talkie itu kami terpaksa minta bantuan, kebetulan kenderaan Ku Li yang mendahului kenderaan kami, dah sampai ke Pos Hau, yang letaknya satu kilometer sahaja dari tempat kami tersangkut.
Kali ini, kenderaan Jabatan Orang Asli terpaksa dipanggil untuk membantu kami. Kenderaan jenis Landrover itu tolong tarik pakai cable winch .
Sampai di Pos Hau, tengok Ku Li baik dok makan dengan Senator Datuk Musa Shaikh Fadzil yang memang bertugas jaga penempatan itu.
Kami dijamu dengan kari kambing Pulau Pinang, dan yang bestnya ada ubi yang dibakar dalam tanah, cara Orang Asli. Aduh, sedap sungguh rasanya, dapat makan pukul 4.30 petang.
Kata Datuk Musa, dia dari hari penamaan calon lagi dah dok kat Pos Hua itu.
“Orang kat sini, tak bagi dah saya balik, depa suruh duduk sini saja,” katanya ketawa.
Seronok duduk dengan Orang Asli, kata Datuk Musa, “Depa ramah, bukan kita jamu depa, depa yang jamu kita,” ceritanya.
GALAS SELUAS NEGERI SEMBILAN
Khabarnya tiga ekor kambing yang dipelihara Orang Asli dah tumbang sejak UMNO Pulau Pinang sampai ke Pos Hau dan yang peliknya Orang Asli masa nak sembelih kambing tu, minta disembelih jauh-jauh.
"Depa tak boleh tengok kambing kena sembelih, kasihan depa kata," ujar beliau.
Sejam di situ, kami pulang, takut juga hujan petang, takut tak boleh keluar. Masa kami menurun bukit itu, tiba-tiba berselisih dengan kenderaan kerajaan negeri bawa hamper .
Mungkin nak naik bagi pada Orang Asli, tapi khabarnya, sekerat jalan patah balik, tidak tahu kenapa, takut sebab bertembung dengan rombongan Ku Li kot.
Alhamdulilah , sampai di rumah Ku Li jam lapan malam. Turun saja kereta, rasa ‘sengal satu badan’.
Dalam sakit-sakit itu, para wartawan yang meredah hutan 12 jam untuk ikut Ku Li jumpa Orang Asli, melawak, kalau Orang Asli kena 5 M, kita kena tambah 1 M lagi, iaitu Massage.
Sebab sakit urut, mahu MC satu hari ini. Tapi Ku Li okay saja. Macam tak ada apa-apa.
“Kawasan Galas sekarang ini seluas Negeri Sembilan, 30 tahun dulu, saya naik rakit pergi jumpa Orang Asli, kena bermalam di sana, berjalan dalam hutan, sekarang ini dah mudah, naik kereta saja,” katanya, yang jemput kami makan malam di rumahnya.
Pada orang politik macam Ku Li, sekarang ini mudah, pada kami, pengalaman itu memang manis untuk dikenang, tapi berdoa, tak payahlah berulang lagi, terutamanya dalam masa berkempen ini. - Agendadaily 29/10/2010