Ahad, Oktober 31, 2010

Calon BN Galas Dah Lebih 30 Tahun Berkhidmat Dengan Masyarakat


Pengalaman berkhidmat dengan masyarakat selama 30 tahun ketika menjadi kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan digunakan sepenuhnya oleh calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff untuk menggalas cabaran menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Anak jati Gua Musang ini percaya, beliau memahami kehendak masyarakat di sini dan tahu cara terbaik untuk membantu mereka terutama dalam soal pembangunan.

"Saya berasal dari sini dan banyak terlibat dengan masyarakat malah jawatan saya dengan Kesedar selama ini juga mewajibkan saya berjumpa dengan masyarakat yang memerlukan bantuan.

"Jadi harapan saya sekarang adalah untuk bekerja keras dan dengan bantuan jentera BN pusat dan dari seluruh negeri saya yakin kita akan meraih kemenangan," katanya.


Beliau ditemui sebaik sahaja diumumkan sebagai calon BN untuk pilihan raya itu di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini.

Abdul Aziz yang berasal dari Kampung Bertam Baru di sini berkhidmat dengan Kesedar sejak tahun 1980 dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Pejabat Operasi Kesedar di RPT Sungai Terah.

Beliau bagaimanapun telah melepaskan jawatan tersebut untuk menepati syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa seorang calon tidak boleh memiliki sebarang jawatan dalam sektor kerajaan.
Kerjaya politik beliau pula bermula 1982 sebagai Ketua Cawangan RPT Limau Kasturi dan kini memegang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang.

Selain berpolitik, Abdul Aziz turut aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Permuafakatan Gua Musang.

Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Abdul Aziz akan bertembung satu lawan satu dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad.

Mengulas mengenai pemilihannya, Ab. Aziz berkata, dia telah bersedia sepenuhnya sejak namanya diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Jelasnya, beliau akan bekerjasama dengan Pengarah Pilihan Raya BN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam menjalan kempennya.
"Sudah tentu saya akan ikut arahan beliau (Tengku Razaleigh) dan Tok Pa (Mustapa) kerana mereka adalah dua pemimpin yang berpengalaman di negeri ini.

"Saya yakin dengan kerjasama ini, semangat kira-kira 3,000 penyokong yang hadir semasa Timbalan Perdana Menteri berada di sini akan diterjemahkan melalui undi," katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas dijadualkan pada 4 November ini selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu akibat barah paru-paru.

Tiada ulasan: