KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) — Barisan Nasional (BN) tidak harus mengambil mudah dengan kemenangannya pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas semalam, sebaliknya perlu terus berusaha memastikan kejayaan serupa dicapai pada pilihan raya umum ke-13 kelak.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun kejayaan itu menampakkan adanya perubahan baik dan harapan kepada BN menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak, tetapi ia tidak boleh diambil mudah.
“Kita tidak boleh ukur kemenangan di Galas dan Batu Sapi. Walaupun ada perubahan besar, perubahan yang baik, tetapi BN tidak boleh ambil sikap mudah dengan perubahan dan kejayaan ini kerana kita masih ada banyak kerja yang perlu dibuat,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Deepavali MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 setelah memperoleh kemenangan berganda semalam.
BN merampas kembali kerusi DUN Galas di Kelantan dengan majoriti undi 1,190 selain mengekal kerusinya di Parlimen Batu Sapi, Sabah dengan majoriti besar iaitu 6,369 undi.
Mengulas mengenai jumlah majoriti besar yang diterima BN, Muhyiddin menyifatkannya sebagai “perkembangan yang menggalakkan”. “Perkembangan ini mungkin kerana penerimaan rakyat terhadap dasar kerajaan, kepimpinan Perdana Menteri dan kerja keras yang kita laksanakan sejak satu, dua tahun lepas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan itu hanya langkah permulaan dan tidak boleh diandai akan berterusan tanpa usaha berlipat ganda lagi untuk menjamin kejayaan BN di masa akan datang.
Selain itu, ia juga tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kejayaan BN dalam pilihan raya umum akan datang, katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula menganggap kemenangan besar BN itu sebagai manifestasi sokongan padu rakyat terhadap Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden Gerakan itu juga melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada jentera parti itu yang turut sama turun padang dan membantu jentera BN memastikan kejayaan di Batu Sapi
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata kejayaan BN di Galas dan Batu Sapi didorong faktor kepercayaan rakyat terhadap usaha transformasi negara yang dilakukan oleh kerajaan.
Selain sambutan baik terhadap Gagasan 1Malaysia, beliau berkata usaha kerajaan untuk mewujudkan transformasi ekonomi menerusi pelbagai program termasuk Bidang Keberhasilan Ekonomi Nasional (NKEA) meningkatkan keyakinan rakyat.
Mengenai sokongan komuniti Cina di kedua-dua kawasan itu, Liow yang juga Timbalan Presiden MCA berkata ia menunjukkan komuniti itu semakin yakin dengan BN.
“Jadi, kita harus memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada semua lapisan masyarakat di negara kita,” katanya.
Menteri Sumber Manusia Dr S. Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC berkata kejayaan BN dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu membuktikan rakyat sedang menerima prinsip 1Malaysia yang menjadi asas politik di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan