Khamis, Oktober 28, 2010

TPM Bidas Fatwa Ikut Suka Pas


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas tindakan Pas yang dianggap beliau terus mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati berhubung kerjasama UMNO dengan MCA dalam Barisan Nasional (BN).

Katanya, tindakan menganggap kerjasama UMNO dengan MCA adalah salah tetapi dalam masa yang sama 'menghalalkan' kerjasama Pas dengan DAP, membuktikan pemimpin Pas suka membuat 'fatwa' sesuka hati mengikut kepentingan politik mereka.

''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Pos Brooke sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan calon BN, Abdul Aziz Yusoff.

Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap kerjasama parti itu tidak salah sebaliknya kerjasama antara UMNO dan MCA yang salah.

Baca artikel 'Apa yang salah dengan kain rentang ini?' di MyKMU sini

Dalam ceramahnya malam tadi sempena kempen pilihan raya tersebut, Abdul Hadi berkata, keadaan itu terjadi kerana mendakwa pemimpin UMNO mengikut perangai pemimpin MCA yang bertentangan dengan Islam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, parti itu sejak dulu lagi berpendapat kerjasama dengan MCA atau mana-mana parti komponen BN lain yang bukan Islam tidak salah sama ada dari segi hukum agama mahupun kepentingan awam.

''Hasil kerjasama yang kita jalin sejak 53 tahun lalu, bermula dengan Perikatan, ia mendatangkan kebaikan kepada negara. Mereka belajar daripada kita.

''Oleh itu kenapa perlu ada satu pandangan yang berbeza berhubung kerjasama ini," katanya.

Beliau berkata, BN tidak menganggap apa yang dilakukan oleh Pas bekerjasama dengan DAP adalah salah tetapi mempersoalkan kenapa parti itu dahulu menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir.

''Hari ini 'fatwa' yang sama hendak digunakan tetapi kalau untuk dia tak apa, untuk kita tak boleh," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Islam khususnya pengundi di Galas akan mengambil iktibar terhadap sikap tidak konsisten Pas yang terus mengamalkan pendirian apa sahaja yang dilakukan oleh mereka betul tetapi kalau dibuat oleh BN salah.

Mengenai kempen BN setakat ini, beliau berkata, pendekatan yang dilakukan adalah mengikut situasi dan keadaan semasa.

''Jika pengarah pilihan raya berpendapat sesuatu pendekatan itu boleh mendatangkan kesan, kita di peringkat pusat tidak ada masalah.

''Apa yang penting sasarannya sama iaitu pengundi dan kita akan meningkatkan usaha untuk sampai ke akar umbi bagi memastikan tidak ada mana-mana kelompok pengundi yang tertinggal," katanya. - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: