Ahad, Oktober 17, 2010

Projek di Galas bukan projek segera - Mustapa

KOTA BHARU 17 Okt. - Dakwaan Pas bahawa UMNO telah membuat janji ‘projek segera’ di Galas adalah tidak benar kerana Projek Perumahan Rakyat yang diumumkan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini sudah lama diluluskan kerajaan Pusat.

Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Pas seharusnya menyelidik terlebih dahulu sebelum menuduh UMNO sudah mula memancing undi untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut.

"Tunggulah pengumuman Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengenai projek perumahan itu di Galas pada 24 Oktober ini. Tidak semua yang kita umumkan itu adalah segera dan mungkin apa yang kita umumkan itu sudah lama dalam perancangan atau sudah diluluskan.

"Apa yang Pas buat sebab dia tak ada isu dan rakyat perlu faham mengenai perkara itu,” kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu mengadakan dialog bersama lebih 30 pekilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa mengulas dakwaan Pas bahawa UMNO kini mula membeli undi pemilih DUN Galas dengan mengumumkan ‘projek segera’. - Bernama

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: