Sabtu, Oktober 30, 2010

Pembalakan dan Ladang Rakyat bimbangkan orang Asli

GUA MUSANG 29 Okt. - Beberapa pemimpin masyarakat Orang Asli di Pos Balar bimbang kehidupan mereka terjejas berikutan tindakan kerajaan Pas Kelantan yang rakus meneroka kawasan berkenaan untuk pembalakan dan mengambil tanah untuk dijadikan sebagai ladang rakyat.

Malah mereka juga tertekan aktiviti-aktiviti yang berterusan dan tidak terkawal itu telah menyebabkan kemusnahan punca pendapatan dan pencemaran air.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pos Balar, Aja Along berkata, penduduk di kawasan Pos Balar yang terdiri daripada lapan buah kampung itu juga tidak boleh membuat sebarang tuntutan atau menuntut bayaran pampasan.

"Harta benda kami musnah akibat aktiviti syarikat balak ini tetapi kami tidak boleh buat sebarang tuntutan akibat kemusnahan ini, mana hak kami yang telah lama duduk di sini.

Gambar dipetik dari Badut Rakyat

"Masalah tanah ini bukan baru, sudah lama tetapi masih tidak diberikan hak milik, tanah yang kami duduk ini pula diancam oleh macam-macam aktiviti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Pos Balar di sini semalam.

Pos Balar yang didiami seramai 738 orang itu terletak kira-kira 90 kilometer dari Gua Musang dan ia hanya boleh dihubungi melalui jalan balak atau menggunakan helikopter.

Lokasinya yang jauh ke dalam agak sukar untuk dihubungi terutama pada musim hujan dan untuk ke sana terpaksa merentasi tiga batang sungai. Kebanyakan penduduk di kawasan tersebut beragama Kristian.

Bagaimanapun kawasan berkenaan dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik yang menggunakan tenaga solar serta generator di samping sebuah sekolah rendah dan dewan orang ramai. Kesemua kemudahan asas ini disediakan oleh kerajaan pusat.

Sementara itu, Penghulu Kampung Perawas, Long Busu berkata, beliau bimbang kesemua kampung dalam pos berkenaan akan lenyap kerana dihimpit oleh aktiviti yang tidak terkawal itu.

"Rizab Orang Asli sudah tidak ada, ini tanah nenek moyang kami, sudah beratus tahun kami duduk sini tetapi sekarang ladang rakyat sudah dekat, mereka mahu ambil tanah kami.

"Kami amat berharap kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tolong kami, penduduk di sini amat berterima kasih dengan BN, mereka banyak tolong kami," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Anjang Busu, 71, berkata, mereka tidak ada jalan untuk menghalang ladang rakyat atau pembalakan selain daripada merayu kepada kerajaan Pas Kelantan supaya menghentikannya. - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: