Selasa, Oktober 26, 2010

Janji PAS pada pengundi Cina sudah 10 tahun

Selepas 20 tahun memerintah Kelantan, Pas diakui penduduk Cina Kampung Baru Galas gagal menyelesaikan tuntutan mereka berhubung soal melanjutkan pajakan tanah mereka sejak sekian lama.

Isu ini dibongkar Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dalam satu tinjauan di kampung berkenaan pagi ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berasa kesal dengan sikap Kerajaan Kelantan yang seolah-olah hanya peka dengan hal ehwal masyarakat Cina Kampung Baru apabila menjelang musim pilihan raya sahaja dengan berjanji akan menyelesaikan masalah berkenaan demi kepentingan penduduk Kampung Baru berkenaan.

Wee berkata, rata-rata penduduk yang ditemui mengadu mereka telah lebih sepuluh tahun mengemukakan permohonan berkenaan status tanah yang telah mereka diami sejak beberapa generasi, namun hampa kerana ia gagal diselesaikan sehingga kini.

“Ada yang selepas sepuluh tahun habuk pun tak ada, tak dengar apa-apa cerita dan sentiasa diberitahu fail tebal, malahan ada yang memberitahu telah membayar RM200-RM500 secara berperingkat-peringkat.”

Wee yang kecewa dengan sikap lepas tangan kerajaan Pas Kelantan berkata isu ini harus ditangani dengan baik demi kebajikan rakyat dan tidak seharusnya dipolitikkan.

“Saya menyeru supaya Kerajaan Pas lebih prihatin tentang masalah lanjutan pajakan tanah ini untuk disambung. Ada yang sampai 2006 sehingga kini tidak tahu kedudukan permohonan mereka. Dan ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu benda yang boleh mengugut pengundi.”

Lebih penting, beliau mahu masyarakat Kampung Baru tidak tersalah persepsi terhadap Kerajaan Pusat kerana isu status tanah kampung baru ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Kelantan.

Jelasnya, pengundi Galas perlu memahami bahawa isu ini adalah bukti kelemahan kerajaan negeri sejak 20 tahun mereka memerintah sedangkan mereka telah menduduki tanah berkenaan sejak lebih berpuluh tahun lalu.

Kepercayaan yang diberi penduduk Galas apabila memenangkan bekas calon Pas, Allahyarham Che Hashim Sulaima sewajarnya menjadi faktor penting agar mereka tidak ‘terlepas pandang’ dari perancangan Kerajaan Pas Kelantan.

Namun, kepercayaan yang diberi ternyata tidak membawa perubahan yang diharap-harapkan penduduk Galas, dan kemajuan infrastruktur serta ekonomi yang dijanjikan semasa musim Pilihanraya Umum ke -12 terbukti retorik untuk menagih undi.

Dalam lawatan sama juga, Wee berkata Pas jelas terdesak untuk mendapat sokongan masyarakat Kampung Baru apabila jentera Pas didapati mengagihkan bantuan kepada penduduk tempatan.

‘Habuan’ berbentuk barang keperluan harian termasuk barangan dapur serta bahan kempen Pas dalam tiga bahasa diagihkan termasuk kepada kediaman yang tidak berpenghuni.

Wee berkata, BN sering dipandang serong dan dituduh ‘membeli’ undi rakyat meskipun bantuan berkenaan disalurkan menerusi agensi Kerajaan,sedangkan hakikatnya kini terbukti pembangkang yang menggunakan taktik berkenaan.

“Ini satu bukti yang jelas mereka melakukan perkara ini, Kita bukan nak pertikaikan apa-apa, tapi BN sering dituduh bukan-bukan kerana sampaikan bantuan.Sudah sampai masanya kita membongkarkan topeng yang dipakai oleh Pas. Kerana hakikatnya ia dilakukan sendiri oleh jentera Pas.”

Wee turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak ianya sengaja dilakukan oleh jentera BN dan menyifatkan tuduhan berkenaan tidak masuk akal.

“Saya rasa Pas kena konsisten. Kalau nak kutuk orang, fikir baik-baik. Jangan apabila mereka lakukan itu halal, orang lain lakukan itu haram. Itu yang saya terkilan apabila saya nampak perkara ini kebetulan berlaku di depan mata saya.”Jelas Wee dalam sidang media di bilik Gerakan MCA Kampung Baru hari ini.

Justeru, Wee berkata tidak ada sebab mengapa penduduk Kampung Baru harus mengundi Pas lagi dalam PRK N.45 Galas pada 4 November depan, sebaliknya mereka harus bersedia mengundi BN demi kelangsungan masa depan generasi akan datang.

Ohpolitik!

6 ulasan:

Wake UP! berkata...

Ini bukti jelas PAS tidak kisah dengan masalah yang dihadapi penduduk yang di bawah kawasan mereka.

Jika tidak sudah pasti masalah ini tidak berlanjutan sehingga ke sekarang.

Apakah PAS akan cuba membeli undi dengan memberikan surat pajakan kepada penduduk di situ sekarang?

Kita tunggu dan lihat.

Tanpa Nama berkata...

Ini ahli PAS yang tiap tiap tahun menunaikan haji & umrah dan mendapat haji mabrur. Baca surah Yasin tiap tiap malam. Sembahyang hajat penuh stadium. Apabila jadi penceramah PAS dah mula membuat fitnah, mencarut, mengkafirkan & memburukan sesama sahabat Islam, membuat pembohongan, membiarkan Islam di hina semata inginkan kuasa politik. Apa kah ahli PAS akan masuk syurga walaupun dia bersama Allah?

Unknown berkata...

Salam Perjuangan,

Blog BADUT RAKYAT ingin mengucapkan SYABAS kepada Tuan yang berjaya menghasilkan sebuah blog yan begitu mantap dengan artikel2 yang bernas.

SAMA2 KITA BERGANDING BAHU MEMASTIKAN BN KEMBALI MERAMPAS DUN GALAS DARI GENGGAMAN PAS PIMPINAN NIK AJIS...

SAYA bersama blogger Wangsa Maju juga akan berkampung di GALAS selama 12 hari.

Saya tlh linkkan blog Tuan di dalam blog pilihan di blog saya..
kalau boleh tolong paut kan blog sy di blog tuan

http://badutrakyat.blogspot.com/

SEKIAN, SALAM KASIH IKHLAS DARI,

WAYNE,BADUT RAKYAT
blogger wangsa maju

Tanpa Nama berkata...

Kelambatan ini mempunyai kaitan dengan sikap dan motivasi. Apabila ada 'sesuatu di sebalik mee udang', contohnya di Perak, sepantas kilat mantan MB Pas buat kerja untuk penduduk kampung baru di sana.

Di Galas, kesegeraan dan kelambatan dalam urusan yang sama tidaklah membawa perbezaan dari segi kemantapan atau kerapuhan koridor kuasa Pas di pantai timor. Ia tidak sedikitpun menggegarkan. Makanya, urusan kampung baru tadi boleh diperap begitu saja atau ditandakan "NFA".

Harap Wee Ka Siong TST, he he

Tanpa Nama berkata...

"Sebelah sana pun pemikiran baik" - Rais

GUA MUSANG 26 Okt. - Bermula Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kempen dan aktiviti pembangkang akan diberi liputan dan disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menyedari mengenai pemikiran baik daripada pembangkang, beliau berkata, pihaknya memutuskan memberi ruang tersebut tetapi berita yang dikeluarkan perlu berkaitan masyarakat majmuk dan isu-isu nasional yang mampu menjana kebaikan bersama.

"Bermula pilihan raya ini sehingga mana-mana pilihan raya selepas ini RTM akan teruskan format ini dengan memberi ruang dan jendela kepada pembangkang untuk mendapat liputan.

"Kita sudah sedar dan kita harus ambil berat. Masa sudah sampai kita ada lunas keberkesanan untuk kepentingan ramai. Sebelah sana pun pemikiran baik," katanya ketika ditemui di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang di sini selepas penamaan calon hari ini.

Mengenai jangka masa penyiaran berita itu, Rais berkata, ia bukan soal minit dan sekiranya berita itu penting dan memberi satu dedahan yang baik kepada rakyat, ia harus diambil saja tanpa mengira jangka masa. - Bernama

Tanpa Nama berkata...

Baguslah menteri itu buat RTM jadi seimbang yakni bukan macam haprakah yang asyik menyajikan berita berat sebelah.