Jumaat, Oktober 08, 2010

Galas tidak semudah disangkakan BN

Segala-galanya bukan semudah yang dijangkakan di Pilihanraya kecil DUN Galas yang bakal berlaku pada 4 November depan.

Walaupun awal-awal lagi diramalkan oleh PAS berikutan keadaan kesihatan bekas ADUN kawasan tersebut, namun apabila ia menjadi kenyataan kelak parti tersebut mahu tak mahu terpaksa mengharungi pelbagai liku dan cabaran. Segala-galanya bukan semudah yang ramai menjangkakan.

BN perlu mencari imbangan yang sesuai di antara berjuang bagi mendapatkan undi orang Melayu yang amat diperlukannya, dan memastikan tindakan mereka itu tidak menjauhkan pengundi bukan Melayu yang lebih jinak dengan Pakatan Rakyat.

Sebagai satu di antara tiga kerusi negeri di bawah kawasan parlimen Gua Musang yang dipegang oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Galas secara amnya dianggap kubu kuat BN. Selain PAS pada 2008, satu-satunya ketika Galas tidak berada di tangan BN ialah pada 1990 dan 1995 - era di mana ianya dikuasai oleh Semangat 46 (sewaktu Ku Li berdiri sebagai pembangkang).

Keadaan disekitar imej Ku Li sesuatu yang menarik. Ketokohan ahli politik veteran itu menjadikannya satu legenda di Kelantan. Ini kerana beliau mempunyai keupayaan menggunakan populariti dan pengaruhnya untuk membantu mendapatkan kemenangan bagi calon BN.

Walau bagaimanapun, sejak lebih setahun lalu Ku Li dilihat sebagai terlalu kuat mengkritik BN, terutama bersabit tuntutan wang ehsan minyak yang menurutnya wajar diberikan kepada negeri Kelantan. Kelantangannya dalam isu itu menimbulkan persepsi seolah-olah beliau ahli politik pembangkang.

Dengan melantik beliau sebagai pengarah BN untuk PRK Galas, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat oleh sesentengah pihak seolah-olah seengaja memaksa Ku Li membuktikan secara terbuka kesetiaannya kepada BN.Jika benar penilaian Muhyiddin mengenai perkara ini, ia tidak semestinya membayangkan Ku Li bakal berjaya meraih kemenangan di Galas.

Ketidaktentuan pendirian Ku Li dari kacamata UMNO/BN menimbulkan tanggapan yang Ku Li lebih berkesan dalam mengurangkan undi untuk BN daripada menarik sokongan.

Justeru, dengan pelantikannya itu tugas utama Ku Li kali ini dalam konteks statusnya sebagai tokoh penting dan terhormat ialah menarik majoriti pengundi kepada BN/UMNO.Bagaimana, jika disorot keputusan PRU 2008, dalam banyak aspek lanskap telah berubah. Sebahagian besar pengundi bukan Melayu masih berpaut kepada Pakatan Rakyat walaupun Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak begitu aggresif memasarkan idea-idea 1Malaysia.

Melihat keadaan setempat, jika undi Melayu bakal berpecah, maka semestinya undi bukan Melayu mengambil tempat utama dalam pertarungan tersebut. Dalam hal ini Galas mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang tidak boleh dipandang ringan. Peratusan lebih 20 peratus orang Cina pada demografi kawasan tersebut lebih dipengaruhi isu-isu nasional yang dihayati melalui akhbar-akhbar vernakular Cina dan bukan Utusan Malaysia atau akhbar-akhbar arus perdana berbahasa Inggeris.

Mereka ingin mengetahui jawapan kepada soalan-soalan seperti berhubung kes Teoh Beng Hock yang dikatakan membunuh diri di Plaza massalam, Shah Alam, Selangor. Isu pengambilalihan kerajaan Perak dan isu-isu pentadbiran ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang masing-masing tidak terlalu jauh untuk diikuti dan dipersoalkan oleh pengundi Cina Galas.

Walaupun ramai di kalangan orang BN/UMNO masih kuat memegang kepada tanggapan bahawa majoriti pengundi di kawasan Galas dan persekitaran merupakan penyokong setia BN, namun apa yang berlaku di beberapa pelosok kawasan tersebut dengan cara sedar atau tidak, telah merubah senario.

Tindakan pihak berkuasa menghentikan pembinaan sebuah gereja untuk kaum Orang Asli di sana mengancam menimbulkan kesan politik yang tidak mungkin menyebelahi BN. Isu agama, walaupun di kalangan Orang Asli yang minoriti sekali pun, masih sesuatu yang terlalu emosional. Ia begitu mudah diperalatkan oleh Pakatan Rakyat dan boleh mempengaruhi pengundi.

Kesimpulannya, berdasarkan kesemua faktor inilah Ku Li bakal memainkan peranan amat penting di Galas dan sebaik-baiknya segala strategi diserahkan kepada beliau.Galas tidak mampu dieksperimen oleh darah-darah muda seperti Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin atau mereka yang sekadar ingin menaikkan imej sendiri dalam UMNO.

Aziz AS
MalaysiaAktif.com

Tiada ulasan: