Rabu, September 29, 2010

MCA optimis tarik sokongan pengundi Cina

KUALA LUMPUR 29 Sept. – MCA optimis dapat menarik sokongan pengundi Cina pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas kerana rekod kepimpinan parti di bahagian Gua Musang yang aktif memberikan khidmat dan bakti buat golongan berkenaan.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, sehubungan itu, beliau percaya Barisan Nasional (BN) mampu menawan kembali kerusi tersebut daripada Pas.

“Para pengundi Cina berupaya melihat sendiri kebolehan kerajaan (BN) mentadbir negeri dan negara melalui konsep 1Malaysia.


“Kami (BN) berbeza dengan sesetengah parti lain yang langsung tidak mampu mengawal perjalanan parti dan jentera sendiri (Parti Keadilan Rakyat),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan aplikasi laman web go2homestay.com dan Anugerah Pelancongan Homestay Utusan Bersih dan Indah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yen Yen yang dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya MCA bagi kawasan Galas semalam memberitahu, pihaknya kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil berkenaan pada bila-bila masa.

“MCA Gua Musang telah mewujudkan sebuah jawatankuasa pilihan raya kecil (untuk Galas) dan jentera kami sudah mula merancang strategi,” jelasnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kelantan.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Che Hashim Sulaima, 46, dari Pas akibat barah paru-paru kelmarin.

Tiada ulasan: