Jumaat, Oktober 01, 2010

Pas lebih pentingkan dendam politik berbanding kemajuan rakyat

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Kerajaan Pas Kelantan diselar kerana lebih mementingkan dendam politik berbanding memajukan masyarakat apabila masih belum meluluskan geran tanah kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) biar pun kerajaan Pusat sudah menjelaskan bayaran premium sebanyak RM24.3 juta pada 2006.

Sambil meluahkan kekecewaannya, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap kerajaan Pas Kelantan itu menyebabkan usaha kerajaan Pusat untuk membantu 4,000 penduduk miskin tegar di kawasan Parlimen Gua Musang tidak dapat dilaksanakan.

"Inilah sikap sebenar kerajaan Pas Kelantan, kita hendak buat projek agropolitan yang boleh memberi manfaat kepada 4,000 penduduk miskin tegar di kawasan Gua Musang pun mereka tidak mahu beri kerjasama, tetapi wang premium sebanyak RM24.3 juta yang dibayar empat tahun lalu diambil.

"Apa jenis mainan politik ini, tak kan kerajaan Pusat melalui Kesedar mahu melaksanakan projek pembangunan untuk kebaikan rakyat pun tidak boleh dibantu, ini janji 2006 lagi, duit dah dapat tapi geran tidak mahu beri," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis rumah terbuka kementerian itu di Bangi dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, mengikut perancangan strategik kerajaan Pusat, daripada 6,000 hektar tersebut, 2,000 hektar akan dibangunkan dengan projek agropolitan yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk, manakala bakinya akan digunakan untuk tanaman semula kelapa sawit.

Kepada soalan, apakah alasan kerajaan Pas Kelantan yang sehingga kini enggan mengeluarkan geran tanah di kawasan itu kepada Kesedar, Mohd. Shafie berkata, pertanyaan tersebut patut diajukan kepada kerajaan negeri Kelantan.

Ini kerana dakwanya, tiada sebarang alasan diberi sehingga kini.

"Kita tidak tahu apa alasan Kerajaan Pas Kelantan dan bagi saya, sepatutnya tiada alasan untuk kerajaan negeri menolak pembangunan ini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi pada masa yang sama, turut menyumbang kepada kemajuan kawasan Gua Musang," katanya.

Mengulas isu berasingan, beliau berkata, pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas adalah bersandarkan kepada kebolehan, ketokohan dan pengalaman luas tokoh UMNO tersebut.

Katanya, Tengku Razaleigh adalah tokoh yang selayaknya untuk mengepalai cabaran BN pada pilihan raya kecil tersebut kerana beliau bukan sahaja disanjung di Gua Musang dan Kelantan tetapi turut dihormati di peringkat nasional.

"Kita yakin dengan kebolehan beliau. Tengku Razaleigh dengan pengalaman luas yang dimilikinya mampu memperkuatkan sokongan rakyat kepada UMNO dan yang lebih penting, kita percaya ketokohannya boleh membantu BN bukan sahaja menawan kembali DUN Galas tetapi menang dengan majoriti besar," ujarnya.

Mengenai saranan Pas Kelantan supaya UMNO tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu atas alasan perpaduan Melayu, Mohd. Shafie berkata, saranan tersebut hanyalah muslihat politik Pas memandangkan sebelum ini, mereka jugalah yang menentang perpaduan antara UMNO dan Pas walaupun mendapat gesaan pelbagai pihak.

Tambahnya, perpaduan Melayu tiada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Galas kerana UMNO sejak dari dahulu lagi sentiasa terbuka dan bersedia untuk mempercepatkan hasrat murni tersebut tetapi jelasnya, pihak yang mengagalkan usaha tersebut adalah Pas sendiri terutamanya, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagaimana kita hendak pegang kata-kata mereka mengenai perpaduan, Pas sekejap kata ya, sekejap kata tidak. Pada saya, Pas hanya menggunakan perpaduan Melayu untuk menarik simpati pengundi di Galas dan mereka tidak ikhlas pun," dakwanya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: