Isnin, Oktober 25, 2010

Kerajaan peruntuk RM180 juta bina PPR pertama di Kelantan

GUA MUSANG, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan pusat memperuntukkan RM180 juta untuk membina 1,500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 10,000 rakyat miskin di kawasan itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata projek 18 blok rumah pangsa lima tingkat yang pertama seumpama itu di Kelantan adalah untuk diagih kepada pelbagai kaum golongan berpendapatan rendah dan miskin di kawasan itu.

"Ini merupakan satu rancangan perumahan yang istimewa, bukti jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap masalah rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PPR Gua Musang di Taman Wangi pada hari Ahad.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Chor Chee Heung, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Muhyiddin berkata projek PPR itu juga istimewa kerana kerajaan memberikan subsidi yang tinggi antara RM45,000 hingga RM85,000 bagi setiap unit rumah.

Beliau berkata bagi PPR (disewa) pemilik hanya perlu membayar pada kadar sewa RM124 sebulan yang jauh lebih rendah berbanding kadar sewa semasa di pasaran.

Manalaka PPR (dimiliki) pula, harga jualan tidak melebihi RM35,000 seunit berbanding harga pasaran semasa yang lebih tinggi sehingga mencapai RM120,000, katanya.

Beliau yang menolak anggapan bahawa projek itu adalah projek pilihan raya, berkata Tengku Razaleigh telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar PPR di Gua Musang itu dibina sejak 2008 lagi.

Hasil permohonan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk melaksanakannya kerana sedar rakyat berpendapatan rendah di kawasan itu amat memerlukannya, katanya.

"Penduduk Gua Musang mengharapkan projek ini dilaksanakan oleh Menteri Besar Kelantan tetapi macam nak menunggu bulan jatuh ke riba.

"Kita (kerajaan pusat) ambil masa untuk melaksanakan projek ini kerana ia dilakukan di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Chor pada sidang akhbar selepas itu, berkata projek PPR berkenaan buat pertama kalinya memperuntukkan 50 peratus kepada bukan bumiputera berbanding 30 peratus kebiasaannya.

Beliau berkata ia berdasarkan keperluan kawasan Gua Musang yang mempunyai ramai penduduk yang berpendapatan rendah.

Baca komentar blog Hujan Emas di sini

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tu buah tangan kuli yg pertama. sure BN menang besar di galas. sure mengelupor puak2 pas kene suntutt dgn kuli...hahahaha