Khamis, April 28, 2011

Tanah milik Orang Asli terjejas

JAKOA dakwa Projek Ladang Rakyat musnahkan kawasan tadahan air

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menganggarkan 1,000 hektar tanah termasuk kawasan tadahan air di penempatan Orang Asli di Gua Musang rosak, disebabkan pembangunan projek Ladang Rakyat kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu, Abdul Razak Arshad, berkata antara kawasan paling teruk terjejas ialah Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik, Gua Musang.

Katanya, kawasan berkenaan dijadikan projek Ladang Rakyat sehingga memberi kesan kepada kawasan tadahan air yang menjadi sumber air penduduk.

“JAKOA sentiasa menjaga kepentingan Orang Asli dengan memastikan kehidupan mereka selesa, namun sejak kebelakangan ini kawasan mereka diganggu projek Ladang Rakyat.


“Pihak kami tidak dimaklumkan mengenai pembangunan projek terbabit menjejaskan kehidupan Orang Asli apabila kawasan tadahan air di kawasan terbabit tercemar akibat pembangunan projek Ladang Rakyat itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, masalah terbabit dibangkitkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang meminta kerajaan negeri meneliti kesan terhadap alam sekitar sebelum meluluskan penerokaan hutan bagi membuka ladang di pedalaman negeri itu.

Penerokaan hutan didapati terlalu hampir dengan penempatan Orang Asli sehingga menjejaskan kehidupan golongan terbabit yang bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan.

Beberapa lokasi di kawasan berhampiran perkampungan Orang Asli diancam kemusnahan disebabkan kegiatan pembukaan hutan bagi memberi laluan kepada projek ladang kelapa sawit.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Abdul Aziz Yusoff (BN-Galas) turut membangkitkan isu ini dengan mengatakan Orang Asli di Gua Musang amat marah tindakan menceroboh tanah adat milik mereka sehingga menjejaskan sumber rezeki.

Beliau menegaskan syarikat yang terbabit dengan projek berkenaan menggunakan nama Ladang Rakyat sudah merosakkan tanaman golongan berkenaan, menyebabkan terpaksa mencari sumber pendapatan lain.

Abdul Razak berkata, pihaknya sedang giat berusaha membantu masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan untuk memiliki tanah sendiri dengan mewartakannya sebagai kawasan Orang Asli.

“JAKOA kini menjalankan kerja mengukur kawasan penempatan Orang Asli bagi membolehkannya diwartakan sebagai kawasan golongan berkenaan dan ada kawasan sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diwartakan sebagai kawasan Orang Asli.

"Melalui pewartaan ini nanti, JAKOA berharap ia mampu membantu masa depan Orang Asli tanpa perlu berhadapan dengan masalah pencerobohan tanah sebagaimana yang dialami sekarang," katanya.- Berita Harian Online

Tiada ulasan: