Khamis, Oktober 07, 2010

Tarikh sukarkan pengundi luar

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Tarikh pengundian yang jatuh pada hari bekerja bakal menyukarkan para pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka, kata Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

Justeru katanya, beliau amat berharap agar majikan para pengundi di Galas dapat berkompromi bagi memberi pelepasan untuk mereka menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan itu.


“Tentunya akan timbul masalah bukan saja untuk pengundi yang berada di luar Kelantan malah pengundi yang berada luar dari Gua Musang untuk ke kawasan itu bagi membuang undi.

“Saya mengharapkan kerjasama majikan memberi cuti kepada pengundi di Galas. Dari aspek petugas parti, kita tidak mempunyai masalah kerana mereka sentiasa bersedia bekerja bagi menjamin kemenangan parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman dibuat Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 26 Oktober (Selasa) depan manakala hari pengundian pada 4 November (Khamis).

Ditanya mengenai calon yang bakal menjadi taruhan parti itu di Galas, Nasharuddin berkata Pas Pusat dijangka menerima nama calon yang akan dicadangkan Pas Kelantan dalam masa terdekat.

“Dalam mesyuarat pusat 3 Oktober lalu kita sudah tetapkan untuk mengumumkan nama calon tidak lama selepas tarikh pilihan raya ditetapkan.

“Mungkin nama itu akan sampai ke Pas Pusat dalam tempoh satu atau dua hari lagi. Apa pun, jentera Pas sudah mula bergerak dan kami yakin untuk mengekalkan kerusi itu,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: