Sabtu, Oktober 09, 2010

Janji Manek Urai telah dilaksana – Kesedar

KOTA BHARU 8 Okt. – Kerajaan Pusat tidak pernah melanggar janji yang dibuat ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tahun lalu malah semuanya telah dilaksanakan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd. Arshad Ismail berkata, empat janji yang dibuat pada pilihan raya kecil tersebut kini dalam proses pelaksanaan termasuk pembinaan jambatan yang menelan belanja RM17 juta.

Beliau berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk membina dan memperbaiki rumah miskin tegar serta pembinaan kompleks sukan di Manjor dan pada masa yang sama Kesedar juga berperanan sebagai agensi pemantau ke atas semua projek yang dilaksanakan itu bersama dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK).


“Sebagai agensi pelaksana, saya dapat mengesahkan semua projek pembangunan yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat pada pilihan raya Kecil itu telah dilaksanakan meskipun berlaku sedikit kelewatan kerana masalah teknikal.

“Agensi kerajaan amat komited dalam menjalankan tugas seperti projek membina dan memperbaiki 500 rumah miskin tegar dan miskin yang membabitkan peruntukan RM1.5 juta dan berjaya diselesaikan dalam tempoh empat bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa parti itu akan secara konsisten membangkitkan isu tuntutan royalti minyak pada kempen pilihan raya kecil di Galas nanti.

Menurut Mustafa lagi, Pas juga akan membangkitkan janji-janji BN sewaktu Pilihan Raya Kecil Manek Urai yang masih belum dikotakan termasuk pembinaan Jambatan Manek Urai yang didakwanya masih tergantung statusnya sehingga kini.

Antara projek yang dijanjikan oleh BN ketika berkempen di Manek Urai ialah pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai, Masjid Temalir bernilai RM600,000, membaik pulih rumah (RM1.5 juta) dan membina kompleks sukan di Kampung Manjor (RM300,000).

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan ekoran kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima dari Pas pada 27 September lalu kerana barah paru-paru.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya kecil di Galas pada 4 November nanti sementara penamaan calon pada 26 Oktober.

Mohd. Arshad berkata, berlaku sedikit kelewatan bagi projek pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai disebabkan proses kajian tanah tetapi kontraknya telah pun diberikan kepada sebuah syarikat.

“Syarikat ini telah memulakan kerja-kerja di tapak bagaimanapun berdasarkan penilaian semula kos projek ini meningkat daripada perancangan awal.

“Kos asal projek ini adalah sebanyak RM8 juta tetapi selepas kajian semula, ia meningkat kepada RM17 juta tetapi tidak ada sebarang masalah kerana projek ini sudah berjalan,” katanya.

Menurut Mohd. Arshad, pembinaan kompleks sukan di Manjor pula ketika ini siap kira-kira 20 peratus disebabkan timbul masalah ketika pengambilalihan tanah yang melibatkan individu serta jabatan penilaian.

Tambahnya, kerja-kerja pengubahsuaian Masjid Temalir juga sedang dilaksanakan dengan 35 peratus daripadanya telah pun disiapkan.

“Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin tertentu tidak benar sama sekali kerana kesemua projek terbabit telah dilaksanakan dengan lancar, bagi saya ia lebih kepada retorik politik semata-mata,” katanya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: