Sabtu, Oktober 02, 2010

BN mampu rampas Galas - Mukhriz

BATU GAJAH 1 Okt. - Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berdasarkan keyakinan semula rakyat terhadap parti itu dan pergolakan yang membabitkan parti lawan.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, perkembangan semasa yang berlaku, memberi kesempatan kepada rakyat untuk menilai pihak yang lebih bersedia menawarkan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

''Rakyat kini semakin yakin kepada BN dan pergolakan dalam parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan mereka kini beralih semula kepada kita," katanya.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Misi Membebaskan Palestin Satu Pengalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Perak di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, katanya, pelawaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya UMNO dan Pas berdamai mungkin merupakan satu helah semata-mata.

''Mengapa di saat-saat mahu diadakan pilihan raya baru memperkatakan soal perpaduan, sedangkan UMNO sentiasa menghulurkan tangan perdamaian walaupun di luar musim pilihan raya.

''Kita akan meletakkan calon dalam pilihan raya itu nanti dan saya yakin, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkeupayaan untuk menangani pengaruh pembangkang di kubu kuat beliau," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan akan memberi tumpuan pada pelaburan domestik bagi memastikan hasrat untuk menjadi negara maju menjelang 2020 tercapai mengikut acuan yang digariskan.

Katanya, kebergantungan melampau terhadap pelaburan asing langsung (FDI) akan memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dalam negara.

''Malaysia mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam jumlah perdagangan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini yang menandakan ekonomi negara sedang menuju ke arah pemulihan walaupun pasaran dunia yang tidak menentu akibat kejatuhan nilai dolar ketika ini," jelas beliau.

Mukhriz berkata, jumlah perdagangan yang dicatatkan negara dalam tempoh tersebut adalah sebanyak RM569.3 bilion iaitu peningkatan 28.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, eksport meningkat sebanyak 26.1 peratus kepada RM315.8 bilion manakala import 32.5 peratus (RM253.5 bilion).

''Perangkaan ini menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang meningkat mendadak selepas menempuh keadaan sukar terutamanya kempen memburukkan Malaysia oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kes liwat beliau," kata Mukhriz.

''Akibat angkara beliau, kemasukan modal pelaburan asing ke negara ini telah menjunam sebanyak 80 peratus berbanding tahun sebelumnya," kata Mukhriz.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Parit, Mohamad Nizar Zakaria; Pemangku Pengarah Kampus, Prof. Madya Ir. Mohd Fisal Ishak dan sukarelawan misi bantuan ke Gaza, Ahmad Faizal Azumu.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: